Friday, September 16, 2016

9. MENGURUS MASALAH

Setiap manusia pasti berdepan dengan masalah sama ada kecil atau besar. Pelbagai cara digunakan untuk menghadapi dan mengatasi masalah. Ada orang yang dapat mengatasi dengan senang dan ada pula yang terpaksa mengambil masa yang lama untuk mengatasinya.

Jika kita tahu bahawa masalah pasti berlaku ke atas sesiapa jua maka apa yang perlu kita lakukan ialah menguruskan masalah dengan cara terbaik. Kita jangan lari dari masalah kerana ia tidak akan dapat mengatasi masalah dan jika kita lari bererti kita sedang menambahkan masalah. Antara cara untuk menguruskan masalah ialah menerima masalah itu dengan hati terbuka dan berdoa memohon pertolongan daripada Tuhan supaya diberi petunjuk bagi mengatasinya.

Kedua, hadapi dan atasinya dengan cara yang tenang. Jangan bertindak secara emosional kerana sebarang keputusan yang dibuat ketika emosional boleh menyebabkan ianya salah dan akhirnya kita akan menyesal.

Ketiga, sentiasa bersabar kerana ketika kita bersabar kita akan bertindak dengan baik dan tidak terburu-buru. Sabar juga dapat menjadikan kita lebih tenteram dan sudah pasti akan menjadikan kita bertidak lebih bijak lagi.

Keempat, mendapatkan pendapat orang lain kerana biasanya bila kita menghadapi masalah mungkin fikiran kita menjadi buntu dan tidak mempunyai idea untuk mengatasinya. Melalui bantuan dan pandangan orang lain seperti isteri, anak, ibu bapa atau kawan-kawan mungkin masalah kita dapat diatasai.

Kelima, berfikiran positif kerana dengan cara ini fikiran kita dapat ditenangkan. Kita mesti berfikir dan percaya bahawa sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Keenam, bila kita berdepan dengan masalah kita hendaklah melihat kelemahan yang ada dalam diri kita. Elakkan daripada meletakkan kesilapan dan kesalahan pada orang lain. Kita perlu membuat pembetulan dan penambahbaikan ke atas sikap dan perangai kita.

Jika kita sedia menggunakan beberapa cara yang disebutkan itu kita tidak lagi lari dari masalah tetapi sedia menghadapinya dengan fikiran yang terbuka.


No comments:

Post a Comment