Friday, September 16, 2016

8. MENJAGA HUBUNGAN

Kita dilahirkan kerana adanya hubungan yang intim antara ayah dan ibu. Kita perlu menjaga hubungan supaya kita mendapat sesuatu perkara yang baik untuk diri kita. Antara hubungan utama yang perlu kita jaga ialah hubungan kita dengan tuhan, hubungan kita dengan manusia dan hubungan kita dengan mahkluk lain.

Pertama kita perlu menjaga hubungan dengan tuhan. Kita hendaklah melaksanakan semua perkara yang disuruh seperti sembahyang, berpuasa, membayar zakat, menunaikan fardhu haji dan lain-lain. Kita juga perlu banyak berzikir kepadaNya sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang banyak kita perolehi.

Perkara-perkara yang dilarang dan tidak disukai oleh Allah s.w.t seperti minum arak, berzina, berjudi dan lain-lain hendaklah kita hindarkan. Selagi kita rapat dengan tuhan kita sentiasa akan diberi perlindungan dariNya.

Kedua ialah hubungan kita dengan manusia. Kita perlu menjaga hati sesama manusia. Nilai-nilai murni seperti berpandangan positif, tolong menolong, kerjasama,bekerja dengan semangat berpasukan, sentiasa senyum dan memberi idea yang membina hendaklah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan kita. Elakkan daripada sifat-sifat negatif seperti dengki, mengumpat, fitnah, buruk sangka dan memburuk-buruk orang lain supaya kita dapat mewujudkan hubungan yang baik sesama manusia.

Ketiga ialah hubungan kita dengan mahkluk lain seperti binatang dan tumbuhan. Kita tidak boleh benci kepada binatang walaupun ianya haram untuk dimakan kerana ia juga adalah mahkluk yang tuhan jadikan. Jangan jadikan amalan pantang nampak ular hendak dibunuh walaupun ia tidak memberi apa-apa ancaman dan pantang nampak anjing terus hendak membaling batu ke arahnya walaupun ia tidak menyerang kita. Begitu juga dengan pokok-pokok. Kita tidak boleh memusnahkan pokok-pokok tanpa sebarang sebab kerana ia juga ingin hidup dan berguna untuk manusia jika sesuai.

Pentingnya hubungan tersebut kerana ia akan memberi kesan yang baik kepada kita dan tentu hidup kita akan menjadi lebih bermakna dan gembira. 


No comments:

Post a Comment