Tuesday, September 13, 2016

5. TERBURU-BURU BOLEH MENYUSAHKAN

Duit bukannya cukup untuk beli kereta baru tetapi hati sudah berkenan dengan Myvi model baru. Kereta lama Axia masih elok lagi tetapi keinginan untuk membeli Myvi baru mengatasi semua kekurangan dan faktor yang ada seperti wang masih kurang, ansuran bulanan lebih tinggi, isteri tidak bekerja sedang mengandung, hari raya puasa hampir tiba, keluarga di kampung sering minta bantuan kewangan dan sebagainya.

Semuanya itu tidak dapat menghalang hasratnya untuk mendapatkan Myvi baru. Isteri pula memberi nasihat agar tidak terburu-buru dan ditangguh sehinggalah semua masalah dapat diatasi terlebih dahulu. Cadangan isteri tidak diendahkan bahkan dimarahi pula.

Kereta Axia pun dijual dan wang baki cuma sedikit dan digunakan untuk membayar deposit kereta Myvi. Setelah beberapa bulan bersama Myvi, mulalah terasa sedikit demi sedikit bebanan sehingga seperti tidak terpikul lagi bebanan itu lantaran timbullah pula perasaan menyesal kerana bertindak terburu-buru. Menyesal dahulu berguna dan menyesal kemudian merana.

Kehidupan mesti diteruskan dan kesusahan harus ditempuhi biar pun berlapar dan berikat perut. Kita sepatutnya tidak perlu sampai ke tahap itu tetapi apa boleh buat disebabkan sikap terburu-buru itulah akhirnya boleh menyusahkan bukan sekadar diri sendiri tetapi juga keluarga yang tersayang.

Itu hanyalah satu contoh yang berlaku kepada individu berkenaan dan banyak lagi hal-hal lain yang berlaku yang menyebabkan kita bertindak terburu-buru. Adalah lebih baik lambat bertindak tetapi berakhir dengan kebaikan daripada terburu-buru yang berkesudahan dengan penyesalan berpanjangan. Dalam hal ini tentunya isteri akan berkata, itulah tak nak dengar cakap isteri sangat.

No comments:

Post a Comment