Sunday, September 18, 2016

50. DENGARKANLAH BISIKAN HATI

Sama ada kita perasan atau tidak, bisikan hati dalam diri kita sering kali seakan-akan kedengaran sebelum kita hendak melakukan sesuatu tindakan yang melibatkan diri sendiri atau orang lain.

Bisikan hati ini selalunya meminta kita untuk berbuat baik terutamanya ketika kita hendak melakukan sesuatu yang tidak baik seperti mengumpat, memfitnah, maksiat, tidak mematuhi ajaran agama, melanggar undang-undang, menganiayai, menzalimi, tidak amanah dan sebagainya.

Selalunya jika kita menurut nasihat bisikan hati itu, pada akhirnya kita akan bersyukur tetapi jika menolak bisikan itu, biasanya kita akan menyesal kesudahannya. Contohnya katakanlah kita hendak memburukkan atau mengumpat seseorang tiba-tiba dalam hati berbisik meminta kita supaya tidak usah mengumpat kerana dosanya sangat besar dan untuk diampunkan dosa mengumpat itu kita bukan sahaja perlu memohon ampun dengan Tuhan tetapi juga meminta maaf dengan orang yang kita umpat itu.

Contoh lain pula, katalah kita merupakan seorang pemimpin dan berpeluang untuk menganiayai salah seorang daripada anak buah kita dengan pelbagai cara bagi menjatuhkan maruahnya. Tiba-tiba sebelum tindakan itu dilakukan kedengaran bisikan hati agar membatalkan hasrat kita itu kerana dikhuatiri pada suatu masa nanti, mungkin diri atau keluarga kita pula akan menerima nasib yang sama.

Di sini terserahlah kepada kita untuk membuat pilihan dan selalunya jika kita menurut bisikan hati, kita akan selamat dan begitulah di sebaliknya, pastinya kita akan menyesal berpanjangan.

No comments:

Post a Comment