Sunday, September 18, 2016

49. KEHILANGAN KEIMANAN

Apa yang sudah anda miliki tentu sahaja anda tidak mahu kehilangannya, tambahan pula jika ia merupakan sesuatu yang berharga atau begitu sukar untuk memilikinya. Anda bukan sahaja akan bersedih tetapi juga mungkin menangis dan tidak habis-habis memikirkannya. Contohnya jika anda kehilangan wang yang banyak, kereta anda dicuri orang, dibuang kerja, jam Rolex yang baru dibeli terjatuh ke dalam laut dan sebagainya.

Akan tetapi pernahkah anda bersikap sedemikian sekiranya anda kehilangan keimanan? Misalnya anda melakukan sesuatu kesalahan atau kejahatan seperti tidak bersolat, berjudi, berzina, menfitnah, menganianyai atau menzalimi orang lain. Seharusnya anda perlu menyesali, bersedih dan menangis kerana dengan perbuatan tersebut bererti anda kehilangan keimanan.

Antara kehilangan harta benda dengan keimanan sesungguhnya  jauh beza dari segi nilainya. Anda boleh lagi berusaha mencari ganti jika anda kehilangan harta benda tetapi jika kehilangan iman, sudah pasti tiada gantinya lagi kecuali memohon keampunan daripada Allah swt dan benar-benar bertaubat untuk tidak mengulanginya lagi.

Dari segi dosa pula, anda tidak berdosa andainya anda kehilangan harta benda tetapi tentunya anda akan berdosa jika anda kehilangan keimanan. Bahkan iblis dan syaitan sangat menyukai orang yang melakukan sesuatu perkara yang boleh menghilangkan keimanan. Ini kerana mereka mahu menarik orang juga masuk ke neraka bersama-sama mereka.

No comments:

Post a Comment