Sunday, September 18, 2016

42. JOGING DAN PUTUS ASA

Joging merupakan salah satu senaman yang dapat meningkatkan tahap kesihatan anda. Ramai yang ingin melakukannya termasuk anda. Sebaik sahaja memikirkan betapa pentingnya menjaga kesihatan terutamanya melakukan senaman lantas anda memutuskan untuk berjoging setiap hari mulai keesokan hari. Anda menetapkan untuk berjoging selama 30 minit setiap hari di waktu pagi dalam tempoh setahun tanpa henti.

Setelah semingu anda memulakan joging, anda mula terasa tidak selesa dan malas. Kalau pada awalnya anda melakukan joging dengan penuh semangat tapi kali ini ia semakin luntur. Anda mula putus asa dan mula mencari pelbagai alasan untuk tidak meneruskannya. Akhirnya anda tidak lagi berjoging. Anda adalah orang yang berputus asa. Orang yang berputus asa adalah orang yang tidak berjaya. Anda mencipta alasan untuk gagal bukan untuk berjaya.

Sebenarnya putus asa dalam berjoging boleh diatasi dengan pelbagai cara. Putus asa ada kaitan dengan semangat. Semangat anda perlu dipulihkan supaya putus asa dapat anda atasi. Antara cara yang sangat berkesan ialah melalui internet dan anda layarilah ratusan imej atau gambar orang yang sedang berjoging. Terdapat pelbagai imej termasuk rupa orang seperti orang Asia, Barat dan Afrika;  umur seperti kanak-kanak dan dewasa; bentuk badan seperti kurus, sederhana dan gemuk; tempat seperti di tepi pantai, taman, tepi sungai, tempat rekreasi, dalam bandar dan desa; dan pakaian seperti baju, seluar, kasut dan topi.



Setelah anda melihat pelbagai gambar tersebut pastinya semangat anda pulih semula dan anda tidak lagi berputus asa untuk meneruskan joging. Perasaan berputus asa tetap akan berlaku lagi dan apa yang perlu anda lakukan ialah terus mencari jalan mengatasinya terutamanya dengan cara yang disebutkan tadi. Sesungguhnya orang yang berjaya ialah orang yang tidak berputus asa dan sentiasa mencari alasan untuk berjaya bukan untuk gagal.

No comments:

Post a Comment