Saturday, September 17, 2016

40. ANTARA MENGANIAYAI DENGN DIANIAYAI

Dua kenyataan di bawah adalah berbeza:

a) Saya akan menganiayai seseorang.

b) Saya akan dianiayai oleh seseorang.

Pastinya anda tidak mahu kedua-duanya terjadi pada diri anda. Akan tetapi jika anda terpaksa membuat pilihan salah satu daripadanya maka yang mana satukah akan menjadi pilihan anda? Apa alasan anda jika anda memilih (a) atau (b)?

Jika anda memilih (a) bererti anda adalah tergolong di kalangan orang yang tidak mempunyai hati dan perasaan kerana orang yang teraniaya itu akan mengalami penderitaan dan kesedihan akibat tindakan anda itu. Bahkan bukan setakat itu sahaja tetapi juga melibatkan maruah dirinya untuk berdepan dengan keluarga dan masyarakat. Contohnya katakan anda membuang kerja salah seorang daripada pekerja anda tanpa sebab yang munasabah tetapi di atas sebab peribadi menyebabkan pekerja anda itu terpaksa menghentikan pengajian anak-anaknya dan pindah rumah kerana tidak mampu membayar sewa lagi.  Tindakan itu adalah satu dosa kerana Allah melarang manusia menganiayai manusia lain.

Selain daripada dosa yang anda perolehi kerana melanggar larangan Allah, anda juga tidak dapat lari daripada balasan Allah semasa di dunia lagi. Paling tidak anda akan mengalami stress dan tekanan yang berat kerana setiap kali anda teringat akan perbuatan yang telah anda lakukan setiap kali pula anda akan tertekan. Ini merupakan sunnah dan keadilan Allah. Biasanya orang yang menganiayai orang lain itu sentiasa percaya yang tindakannya itu betul dan tidak mahu mengaku atau menerima kenyataan bahawa perbuatannya itu adalah salah.

Jika anda memilih (b), bererti anda berhati mulia kerana anda sanggup menderita asalkan orang lain tidak. Anda mungkin mengambil masa seminggu, sebulan atau setahun untuk pulih daripada kesedihan dan pada akhirnya anda tidak lagi bersedih. Lagipun anda tidak perlu risau kerana bukannya anda yang menganiayai tetapi anda dianiayai. Jadi bukanlah anda yang berdosa bahkan anda akan mendapat pahala sepanjang tempoh anda dianiayai dengan syarat anda bersabar.






No comments:

Post a Comment