Tuesday, September 13, 2016

3. SABAR MEMBUAHKAN KEMENANGAN

Sikit-sikit sabar, sikit-sikit sabar, sampai bila nak bersabar. Itulah kata-kata yang sering kita dengar daripada orang yang bersikap tidak penyabar dan suka mengeluh. Jangan bersikap begitu nanti kita akan rugi. Sebaliknya keuntungan dan kemenangan selalu berpihak kepada kita yang bersikap penyabar.

Sabar mempunyai banyak jenis. Jenis sabar yang selalu diperkatakan dalam kehidupan seharian kita biasanya ada dua iaitu sabar ketika sedang berusaha dan kedua, sabar akibat ditimpa musibah.

Sabar ketika sedang berusaha untuk mendapatkan sesuatu pencapaian atau hasil yang baik seperti seorang pekerja yang melaksanakan tugas dengan penuh kesabaran bagi mendapat pencapaian yang berkualiti. Seorang peniaga pula berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh kesabaran mengharapkan sambutan daripada pelanggan terhadap produknya bertambah dari semasa ke semasa.

Jenis sabar kedua adalah kesabaran menghadapi musibah seperti kerugian, kesusahan, kesakitan, kesedihan, kepedihan, keperitan, dianiayai, dizalimi, dijanji palsu, ditipu, difitnah, kemalangan, kecelakaan, dikhianati, kematian, kerosakan atau kehilangan harta benda atau wang, diturunkan pangkat, jawatan atau kedudukan, penyakit dan sebagainya.

Sabar bukanlah bermakna kita berdiam diri tetapi dilakukan secara bersama dengan usaha yang gigih. Kita tidak boleh bersabar semata-mata tanpa berusaha untuk mengatasinya. Sabar dan usaha biarlah seiring sejalan atau senada seirama. Amalan berkembar seperti ini sama ada cepat atau lambat pastinya akan berakhir dengan kejayaan dan kemenangan kepada kita. Kepada orang yang sentiasa bersabar sudah ada janji daripada Allah iaitu akan diberikan kesenangan olehNya sama ada di dunia dan akhirat.

Bentuk kemenangan tidak semestinya diberikan dalam bentuk yang sama tetapi mungkin dalam bentuk berlainan seperti tubuh yang sihat, sentiasa gembira, tidak stress, anak-anak berjaya, peningkatan dalam ibadah, wajah berseri-seri atau bercahaya, dipandang mulia, disenangi oleh orang lain dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment