Saturday, September 17, 2016

29. SIAPAKAH KITA

Tuhan menjadikan manusia atas rahmat dan ehsanNya. Selepas itu kita akan kembali semula kepadaNya. Masa untuk kita berada di muka bumi ini tidak lama. Secara puratanya 60 hingga 80 tahun dan jarang orang yang dapat hidup melebihi 90 tahun.

Apa tujuan Allah menjadikan kita hidup di dunia ini? Jawabnya kerana Allah mahukan kita beribadat kepadaNya sebelum nyawa atau roh kita berpisah dengan badan. Allah berfirman:

Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepadaKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai kekuatan Lagi Maha Kuat.” (Adz Dzariat:56-58)

Setengah ulamak berpendapat ibadat itu bermaksud kita hendaklah sentiasa takut kepada Allah dengan melakukan apa yang disuruh (kebaikan) dan menjauhi apa yang dilarang (maksiat). 

Jika Allah tidak menetapkan syarat tersebut kepada manusia iaitu hendaklah membuat ibadat semata-mata dan sebaliknya diberi kebebasan iaitu sebarang maksiat dan kejahatan dibenarkan maka manusia tidak akan mampu untuk hidup lama di muka bumi ini kerana ramai akan kecewa, menderita, tersiksa atau mati akibat penindasan dan pembunuhan oleh mereka yang lebih kuat dan berkuasa. Contoh maksiat atau kejahatan seperti:

- membunuh sesuka hati sama ada melibatkan nyawa yang sedikit atau ramai

- mencuri, merampas dan merompak harta orang lain

- berzina, tinggal serumah tanpa nikah, melacur, menyimpan ramai perempuan dan merogol

- berkahwin sehingga ratusan isteri

- isteri mencari lelaki lain selain suami

- berjudi dan mabuk

- melanggar apa sahaja undang-undang yang ada

- melakukan penindasan, fitnah, penganiayaan dan kezaliman

- 1001 macam maksiat lagi

Akibat perbuatan seperti di atas akhirnya manusia juga yang susah, menderita hancur di atas muka bumi. Itulah hikmahnya apabila kita beribadat pada Allah yang membawa maksud sentiasa menjauhi apa sahaja yang Allah larang. Berikut ialah contoh perkara-perkara yang disuruh manusia lakukan seperti:

- Tidak boleh mencuri, merompak atau mengambil harta orang lain

- Tidak boleh melanggar undang-undang walau pun di jalan raya

- Sentiasa menolong dan membantu orang yang susah, miskin dan memerlukan pertolongan

- Menghormati sesama manusia

- Mempelajari ilmu yang memberi manfaat

- Mengamalkan Rukun Islam dan Rukun Iman

- Membuat baik dan kebajikan kepada keluarga dan masyarakat.

- Tidak berzina, berjudi, bertenung nasib, syirik dan pembunuhan

- Tidak berjual beli secara haram dan melakukan riba

- Sentiasa bersikap adil, amanah, jujur, ikhlas dan integriti

- dan 1001 macam kebaikan lagi

Jika anda teliti apa yang diertikan dengan beribadat itu melalui contoh-contoh di atas ternyata sememangnya Allah menyuruh kita beribadat adalah untuk kebaikan manusia juga. Setiap maksiat atau kejahatan yang kita lakukan pasti akan menyebabkan berlaku kesusahan dan penderitaan. Allah tidak mahu melihat manusia menderita walaupun berlaku pada seorang manusia sahaja kerana sesnugguhnya Allah mahu melihat semua manusia gembira hidup di bumi ini tetapi dengan syarat kita hendaklah sentiasa membuat baik atau beribadat kepadaNya

No comments:

Post a Comment