Tuesday, September 13, 2016

2. FAKTA ATAU BUKAN

Setiap hal yang kita dengar, baca atau lihat pastinya kita akan berdepan dengan fakta atau bukan fakta. Sesetengah orang tidak dapat membezakan antara keduanya itu.  Kemudian suka pula menyebarkan cerita berkenaan kepada orang lain. Orang lain pula menyebarkan kepada pihak lain sehingga cerita tersebut menjadi sesuatu yang boleh dipercayai atau pegangan dalam masyarakat berkenaan.

Jika cerita yang kita bawa itu adalah fakta, tidaklah perkara itu menjadi masalah tetapi jika sebaliknya, mungkin berlaku suatu amalan atau pegangan yang silap dalam jangka masa yang agak lama sehinggalah fakta tersebut diperbetulkan semula.

Contohnya tidak boleh mengambil gambar bertiga kononnya boleh menyebabkan salah seorang atau yang berada di tengah-tengah akan mati dulu. Ada di kalangan kita sanggup tidak mengambil gambar bertiga walaupun tempat bergambar itu sangat menarik atau sukar untuk ke situ lagi kerana takut dengan kepercayaan tersebut. Siapakah kita atau gambar yang berkuasa untuk mencabut nyawa lebih awal daripada Tuhan. Dalam agama, kita percaya bahawa rezeki, jodoh dan ajal adalah kuasa Tuhan. Semuanya itu Allah yang tentukan bukannya kerana gambar bertiga atau sebagainya. Kepercayaan itu merupakan perbuatan syirik yang boleh menjejaskan aqidah atau kepercayaan kita kepada Tuhan.

Kita sebagai pendengar atau pembaca atau penonton seharusnya tidak terlalu cepat untuk mempercayai sesuatu perkara tanpa mendapat buktinya terlebih dahulu. Biarlah kita bertindak melakukan sesuatu perkara dengan mendapat fakta yang benar dan kukuh daripada menyebarkannya tanpa fakta yang jelas.

No comments:

Post a Comment