Friday, September 16, 2016

16. MENCARI KEBAIKAN ORANG LAIN

Setiap orang mahu mendengar komen yang baik ke atas dirinya. Adalah luar biasa jika ada orang akan berkata bahawa alangkah gembiranya mendengar cerita daripada seseorang yang mengatakan bahawa kita adalah seorang pemalas, tidak pandai bergaul, tidak tahu memimpin, tidak pandai menjaga kebajikan pekerjanya dan sebagainya. Ini kerana kita lebih senang mendengar komen bahawa kita mempunyai sifat-sifat dan nilai-nilai yang positif. Perkara ini adalah normal bagi manusia.

Ekoran daripada itu kita harus menceritakan kebaikan seseorang apabila kita bertemu dengan seseorang atau kawan-kawannya. Bukannya rugi apa-apa jika kita berkata yang baik tentang seseorang. Malah katakanlah apa yang kita perkatakan itu dapat diketahui oleh orang yang kita maksudkan maka sudah pasti ia akan merasa gembira dan tentu akan menghargai serta menyukai kita. Ini bererti kita pun akan disenangi dan disukai oleh orang itu.

Sebaliknya jika kita menceritakan keburukan seseorang dan katakan cerita itu sampai ke pengetahuannya sudah tentu ia merasa tersinggung dan kecewa serta dendam. Perkara ini adalah tidak baik dari segi perhubungan dan pergaulan antara kita dengannya.
Menyenangkan semua pihak iaitu pihak kita dan pihak rakan-rakan atau orang lain adalah sangat dituntut oleh agama dan masyarakat kerana ia akan menjadi satu budaya yang positif dalam masyarakat kita. Oleh yang demikian, carilah seberapa banyak kebaikan seseorang kerana akhirnya diri kita pula akan dilihat oleh orang lain dengan penuh kebaikan.

No comments:

Post a Comment