Friday, September 16, 2016

12. MEMBUAT KEBAJIKAN

Utamakan kebajikan kerana kita akan mendapat hasil yang sangat baik selepas melakukannya. Kita tidak boleh mengharapkan ganjaran dari Tuhan atau seseorang apabila kita membuat kebajikan tetapi biasanya ganjaran akan datang dengan sendirinya. Terdapat dua jenis kebajikan yang boleh kita lakukan iaitu secara perkhidmatan dan secara fizikal.

Kebajikan secara perkhidmatan tidak perlu menggunakan wang atau modal. Kita boleh memberi nasihat yang berguna kepada mereka yang membuat perkara yang tidak baik. Misalnya jika rakan kita terlibat dengan judi, kita boleh menasihatkan supaya jangan berjudi dengan memberi alasan-alasan yang baik yang bertujuan untuk menghentikannya dari terus berjudi. Jika kita mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam kaunseling atau psikologi kita juga boleh memberi ceramah secara percuma di sekolah-sekolah supaya pelajar-pelajar dapat menjauhi daripada masalah sosial seperti ponteng sekolah, peras ugut, menghisap rokok atau mencuri.

Jenis kebajikan seterusnya ialah secara fizikal. Kita harus mengambil sedikit apa-apa yang kita miliki seperti wang atau harta untuk disumbangkan kepada orang yang benar-benar memerlukannya. Tuhan akan memberi ganjaran yang berlipat kali ganda jika kita membantu atau menderma kepada orang yang dalam kesusahan. Cuma masa saja yang menentukan ganjaran yang diterima iaitu kadang-kadang cepat dan kadang-kadang lambat atau mungkin kita akan mendapat ganjaran dalam bentuk bukan fizikal seperti mendapat ketenangan, kegembiraan atau fikiran yang lapang.

Orang yang berbuat kebajikan tidak akan menjadi susah kerana ia sentiasa didoa oleh orang-orang yang menerima kebajikan daripadanya.

No comments:

Post a Comment