Friday, September 16, 2016

11. BANYAKKAN MEMBACA

Membaca merupakan amalan yang sangat murni dan mulia. Semua bangsa dan agama menggalakkan amalan membaca. Amalan ini tidak boleh berhenti. Ia mesti dilakukan secara berterusan. Bangsa yang kuat membaca sudah terbukti telah menjadi maju dikagumi oleh bangsa-bangsa lain contohnya bangsa Jepun.

Walaupun amalan membaca mempunyai banyak kebaikan tetapi malangnya tidak ramai orang yang mahu mengamalkannya, apatah lagi hendak menjadikannya sebagai tabiat atau budaya. Untuk mewujudkan budaya membaca kita perlu melalui beberapa peringkat.

Peringkat pertama ialah menjadikannya sebagai amalan. Ia tidak terhad kepada sesiapa sama ada pelajar, graduan, pensyarah, pegawai kerajaan, CEO, eksekutif, pegawai bank, guru, tentera, polis atau pesara. Melalui amalan membaca sudah pasti kita bukan sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan tetapi juga dapat mempertingkatkan kualiti barang atau perkhidmatan yang kita keluarkan.

Peringkat kedua ialah menjadikannya sebagai tabiat. Jika kita berjaya menjadi tabiat bermakna kita tidak boleh lagi berhenti dari membaca. Tabiat bererti kita akan merasa kehilangan sesuatu jika tidak membaca. Contohnya jika orang yang suka minum kopi atau hisap rokok, jika sudah jadi tabiat bererti sangat susah baginya untuk meninggalkannya lagi.

Peringkat ketiga ialah menjadikan membaca sebagai budaya. Untuk menjadi budaya adalah sangat sukar dan memakan masa yang lama. Ia mesti melalui peringkat amalan dan tabiat terlebih dahulu barulah menjadi budaya. Bangsa Jepun telah berjaya menjadikan membaca sebagai budaya. Kita boleh lihat di mana-mana tempat seperti di dalam bas, keretapi, bank dan kapal terbang kelihatan kebanyakan orang Jepun membaca buku. Mereka sudah sebati dengan amalan membaca dan sukar untuk dipisahkan dengan kehidupan harian mereka.
Banyak membaca merupakan tangga kejayaan untuk menjadikan kita orang yang maju dan terbilang.

No comments:

Post a Comment