Sunday, March 27, 2011

JENAYAH


Definisi Jenayah

Jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi atau melanggar undang-undang yang wujud di sesuatu tempat atau negara. Konsep jenayah agak berbeza antara sesebuah masyarakat dengan sesebuah masyarakat yang lain terutamanya dari segi perbezaan agama, adat resam, ideologi dan budaya. Misalnya, minum arak merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang di negara Islam dan sebaliknya ia tidak menjadi satu kesalahan jika perbuatan itu dilakukan di negara bukan Islam. Walau bagaimanapun terdapat satu persamaan di seluruh dunia tentang konsep jenayah iaitu semua negara bersetuju bahawa kegiatan-kegiatan seperti mencuri, merompak, merogol, menculik, mengedar dadah dan membunuh merupakan satu jenayah.

Penjenayah merupakan panggilan kepada seseorang yang melakukan jenayah. Contohnya seseorang yang mencuri, merompak, merogol atau membunuh adalah dikategorikan sebagai penjenayah. Kesemua negara di dunia meletakkan harapan yang tinggi dan setengahnya menjadikan agenda utama negara untuk mengurangkan kadar jenayah. Ini kerana salah satu kriteria utama dalam menentukan kemakmuran sesebuah negara ialah kadar jenayah yang rendah.


Jenis-Jenis Jenayah

Jenayah yang berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah berbeza kerana ia banyak dipengaruhi oleh persekitaran sosial, ekonomi dan politik dalam negara tersebut. Pada umumnya jenis-jenis jenayah yang wujud adalah seperti di bawah:

a) Jenayah ke atas manusia seperti membunuh dengan niat atau tanpa niat, mencedera, menyiksa, menyakit, meragut,  mendera, menculik, mencabul dan merogol.

b) Jenayah ke atas harta benda seperti mencuri, menyimpan barang curi, merompak, merosak, menghilang dan melupus.

c) Jenayah ke atas negara seperti mengancam, menyerang, menderhaka, menghasut dan mengkhianati.

d) Jenayah komputer dan internet seperti mengubah atau menghilangkan rekod dan data, mencuri, memalsu, menyerang melalui virus dan cetak rompak.

e) Jenayah harta intelek seperti hakcipta, rekacipta, rekabentuk, paten, simbol, karya muzik, satera dan seni, jenama, imej dan cap dagangan.

f) Jenayah perang seperti menganiayai atau menembak mati tawanan perang, orang awam, pengibar bendera putih, pengusiran orang awam, memusnahkan tanpa asas sesebuah kampung, pekan atau bandar, membinasakan sesuatu keperluan atau kemudahan yang tidak berasaskan kepada keperluan ketenteraan.


g) Jenayah seksual seperti gangguan seksual, cabul, rogol, liwat, zina, sumbang mahram dan homoseks

h) Jenayah kolar putih atau orang berstatus tinggi seperti rasuah, penipuan, penyelewengan, menggelapkan wang, pecah amanah dan pemalsuan dokumen atau identiti.


Jenayah Dalam Islam

Jenayah dalam Islam dikaitkan dengan pelanggaran hukum dan melibatkan dosa. Hukuman yang dikenakan kepada pelanggar hukum lebih kepada penyucian dosa terhadap apa yang ia lakukan. Terdapat tiga jenis jenayah dalam Islam iaitu:

a) Jenayah hudud iaitu pelanggaran hak Allah seperti membunuh, mencuri, merompak, murtad, berzina, menuduh berzina, minum arak dan fitnah.

b) Jenayah qisas iaitu mencedera atau membunuh seseorang.

c) Jenayah takzir iaitu suatu kesalahan yang tidak cukup bukti untuk dikenakan hukuman hudud atau qisas dan kesalahan yang mengganggu ketenteraman awam misalnya khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab, mengumpat, menipu, berjudi, rasuah, mengambil atau mengedar dadah dan sebagainya.


Sebab-Sebab Berlaku Jenayah

Secara umumnya jenayah berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti berikut:

a) Niat dan peluang. Seseorang yang sudah mempunyai niat untuk melakukan jenayah akan bertindak ke arah itu sebaik sahaja ia mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

b) Kemiskinan hidup. Seseorang sanggup melakukan jenayah kerana didorong oleh faktor kemiskinan hidup yang mereka hadapi. Mereka terpaksa melakukan jenayah kerana ingin menampung belanja hidup yang lebih tinggi berbanding dengan pendapatan yang diperolehi.

c) Tamak.   Orang  tamak   selalunya tidak bersyukur dengan apa   yang ia   miliki    dan sentiasa mahu memenuhi keinginan yang tidak terbatas walau pun di luar kemampuannya. Ini menyebabkan mereka mudah untuk melakukan jenayah. 

d) Ketagihan. Penagih alkohol atau dadah mudah melakukan jenayah kerana ingin mendapatkan alkohol atau dadah disebabkan harga kedua-dua bahan tersebut adalah tinggi sedangkan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membelinya.

e) Kesabaran. Orang yang tidak sabar lebih mudah untuk melakukan jenayah berbanding dengan orang yang sabar. Mereka biasanya muda mengikut perasaan dan tidak berfikir semasak-masaknya sebelum bertindak.

f) Nafsu. Ada orang dapat mengawal nafsu seks dengan baik tetapi ada juga yang sukar mengawalnya. Golongan yang gagal mengawal lebih mudah untuk melakukan jenayah terutamanya rogol atau gangguan seksual.

g) Pengaruh televisyen dan filem. Mungkin pada mulanya mereka menonton televisyen atau filem sebagai hiburan semata-mata tetapi lama-lama kelamaan timbul minat untuk meniru aksi yang dilihatnya termasuk juga perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti mencuri atau merompak.

h) Kurang pendidikan agama. Bagi mereka yang kurang pendidikan agama dan tidak kuat kepada pegangan agama serta kurang beramal mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk melakukakan jenayah berbanding dengan mereka yang kuat beragama.


Undang-Undang Jenayah

Undang-undang jenayah ialah undang-undang yang berkaitan dengan kesalahan jenayah dan hukuman yang dijatuhkan ke atas seseorang yang melanggarnya. Ia bertujuan untuk mengawal dan mengurangkan jenayah. Masyarakat tidak dapat menjalani kehidupan yang harmoni sekiranya tidak ada undang-undang yang mengawal jenayah. Selain undang-undang jenayah terdapat juga undang-undang lain di Malaysia seperti undang-undang sivil dan undang-undang syariah (khususnya bagi penduduk Islam). Sumber undang-undang jenayah di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu:

a. Kanun Kesiksaan (Penal Code)

b. Kanun Acara Jenayah (Criminal Procedure Code)


Cara Mengurangi  Kadar Jenayah

Agak mustahil jenayah dapat dihapuskan tetapi ia boleh dikurangkan. Untuk mengurangkan jenayah memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak seperti masyarakat,  kerajaan, sistem pendidikan, penguatkuasa dan penggunaan  teknologi. Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kadar jenayah ialah:

a) Komitmen ketua negara. Ketua negara seperti perdana menteri atau presiden yang prihatin dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam usaha mengurangi jenayah boleh menyebabkan kadar jenayah berkurang. Ini kerana seluruh jentera dan agensi atau jabatan yang terlibat akan berusaha dengan sedaya upaya bagi memenuhi hasrat ketua negara itu.

b) Kestabilan ekonomi. Perkembangan ekonomi ditentukan oleh kedudukan pendapatan negara, pengangguran, inflasi dan hutang negara. Kadar jenayah akan berkurang jika ekonomi sesebuah negara berkembang dengan baik dan stabil.

c) Penyalahgunaan dadah. Kebanyakan kes jenayah seperti mencuri, menyamun dan merompak mempunyai kaitan yang rapat dengan penyalahgunaan dadah. Pengagih yang menghadapi masalah ketagihan yang serius biasanya sanggup melakukan apa sahaja termasuk jenayah asalkan mereka dapat bahan tersebut. Jenayah boleh berkurang apabila masalah penyalahgunaan dadah dalam masyarakat dapat dikurangkan.

d) Agensi penguatkuasa. Terdapat pelbagai agensi penguatkuasa seperti polis, kastam, badan anti rasuah, imigresen, penjara dan lain-lain memainkan peranan penting dalam usaha mengurangi kadar jenayah. Kecekapan sesebuah agensi adalah bergantung kepada sumber-sumber yang dimiliki seperti tenaga kerja, kecekapan sistem pengurusan, peruntukan kewangan, latihan dan peralatan teknologi. Semakin berkesan setiap agensi penguatkuasa memainkan peranan masing-masing bererti semakin berkesan pula usaha mengurangi  kadar jenayah.

e) Sistem pendidikan. Menanam kesedaran dan membentuk masyarakat yang harmoni perlu bermula dari sekolah rendah hinggalah di peringkat pusat pengajian tinggi. Ketidakberkesanan dalam sistem pendidikan dalam mencorak anak-anak untuk menjadi warga negara yang berguna boleh menyebabkan kadar jenayah lebih tinggi berlaku. Sistem pendidikan yang digubal dan dilaksanakan hendaklah juga mengambilkira keperluan utnuk mengurangkan kadar jenayah.


Rujukan:

1) http://anelyza.blogspot.com/2014/05/karangan-3-punca-dan-langkah-menangani.html
2) http://keligit97lense.blogspot.com/2011/06/faktor-faktor-peningkatan-kes-jenayah.html




 

1 comment:

  1. Salam, tuan apakah syarat di dalam sistem ampun dan parol?

    ReplyDelete