Sunday, September 18, 2016

50. DENGARKANLAH BISIKAN HATI

Sama ada kita perasan atau tidak, bisikan hati dalam diri kita sering kali seakan-akan kedengaran sebelum kita hendak melakukan sesuatu tindakan yang melibatkan diri sendiri atau orang lain.

Bisikan hati ini selalunya meminta kita untuk berbuat baik terutamanya ketika kita hendak melakukan sesuatu yang tidak baik seperti mengumpat, memfitnah, maksiat, tidak mematuhi ajaran agama, melanggar undang-undang, menganiayai, menzalimi, tidak amanah dan sebagainya.

Selalunya jika kita menurut nasihat bisikan hati itu, pada akhirnya kita akan bersyukur tetapi jika menolak bisikan itu, biasanya kita akan menyesal kesudahannya. Contohnya katakanlah kita hendak memburukkan atau mengumpat seseorang tiba-tiba dalam hati berbisik meminta kita supaya tidak usah mengumpat kerana dosanya sangat besar dan untuk diampunkan dosa mengumpat itu kita bukan sahaja perlu memohon ampun dengan Tuhan tetapi juga meminta maaf dengan orang yang kita umpat itu.

Contoh lain pula, katalah kita merupakan seorang pemimpin dan berpeluang untuk menganiayai salah seorang daripada anak buah kita dengan pelbagai cara bagi menjatuhkan maruahnya. Tiba-tiba sebelum tindakan itu dilakukan kedengaran bisikan hati agar membatalkan hasrat kita itu kerana dikhuatiri pada suatu masa nanti, mungkin diri atau keluarga kita pula akan menerima nasib yang sama.

Di sini terserahlah kepada kita untuk membuat pilihan dan selalunya jika kita menurut bisikan hati, kita akan selamat dan begitulah di sebaliknya, pastinya kita akan menyesal berpanjangan.

49. KEHILANGAN KEIMANAN

Apa yang sudah anda miliki tentu sahaja anda tidak mahu kehilangannya, tambahan pula jika ia merupakan sesuatu yang berharga atau begitu sukar untuk memilikinya. Anda bukan sahaja akan bersedih tetapi juga mungkin menangis dan tidak habis-habis memikirkannya. Contohnya jika anda kehilangan wang yang banyak, kereta anda dicuri orang, dibuang kerja, jam Rolex yang baru dibeli terjatuh ke dalam laut dan sebagainya.

Akan tetapi pernahkah anda bersikap sedemikian sekiranya anda kehilangan keimanan? Misalnya anda melakukan sesuatu kesalahan atau kejahatan seperti tidak bersolat, berjudi, berzina, menfitnah, menganianyai atau menzalimi orang lain. Seharusnya anda perlu menyesali, bersedih dan menangis kerana dengan perbuatan tersebut bererti anda kehilangan keimanan.

Antara kehilangan harta benda dengan keimanan sesungguhnya  jauh beza dari segi nilainya. Anda boleh lagi berusaha mencari ganti jika anda kehilangan harta benda tetapi jika kehilangan iman, sudah pasti tiada gantinya lagi kecuali memohon keampunan daripada Allah swt dan benar-benar bertaubat untuk tidak mengulanginya lagi.

Dari segi dosa pula, anda tidak berdosa andainya anda kehilangan harta benda tetapi tentunya anda akan berdosa jika anda kehilangan keimanan. Bahkan iblis dan syaitan sangat menyukai orang yang melakukan sesuatu perkara yang boleh menghilangkan keimanan. Ini kerana mereka mahu menarik orang juga masuk ke neraka bersama-sama mereka.

48. HIDUP BERPASANGAN

Biasanya sesuatu itu memerlukan pasangan kerana jika dilakukan berseorangan atau satu pihak maka pincang atau kuranglah kekuatannya.

Sepasang kaki dapat berjalan atau berlari dengan baik berbanding dengan satu kaki. Lahirnya zuriat makhluk kerana mereka berpasangan. Begitulah kekuatan yang anda boleh lakukan andainya dilakukan dengan cara berpasangan.

Sebuah pasukan atau organisasi tidak akan menjadi kuat atau cemerlang sekiranya tiada pasangan dan dalam konteks ini pasangannya ialah antara pemimpin atau ketua dengan anak buah atau pekerja mereka.

Seorang pemimpin yang bagus tidak akan menjadi kuat jika tidak dibantu oleh anak buahnya yang bagus; dan begitulah juga jika anak buahnya cemerlang tidak akan menjadi maju oraganisasinya jika para pemimpin mereka tidak cemerlang.


47. INGAT PADA YANG MISKIN

Anda mungkin dilahirkan dalam kalangan keluarga kaya, sederhana dan miskin.


Jika anda merupakan keluarga kaya selalunya apa yang anda inginkan anda akan dapat menikmatinya. Anda boleh menikmati makanan ayam goreng di restoran KFC atau burger di Mc Donald kerana keluarga anda berkemampuan. Pada musim cuti sekolah, anda tentu boleh melancong ka sana sini.


Ini berlainan dengan mereka yang miskin. Walaupun keinginan untuk berhibur atau mandi manda di taman air seperti Desa Water Park atau Sunway Lagoon atau melancong ke negara asing, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana ibu bapa mereka tidak berkemampuan.


46. MENGATASI KETAKUTAN MATI

Mati pasti terjadi terhadap seseorang termasuk anda, cuma saat dan waktunya sahaja yang tidak dapat diketahui oleh sesiapa kecuali Allah swt. Mati tidak mengenal usia sama ada ketika masih dalam perut ibu, bayi, kanak-kanak, remaja, orang muda, dewasa dan tua. Sudahkah anda bersedia menempuh alam yang baru iaitu alam barzakh dan alam akhirat.
Terdapat dua kategori manusia mengenai mati. Pertama, manusia yang tidak takut pada mati. Kedua, golongan yang takut pada mati. Jika anda merupakan golongan yang kedua dan anda ingin mencari jalan supaya tidak takut pada mati, anda boleh mencuba cara-cara berikut:-

a) Sentiasa ingat bahawa kematian itu pasti akan terjadi pada bila-bila masa terhadap anda.

b) Sentiasa mengamalkan niat, berbicara dan perbuatan yang baik dalam kehidupan seharian baik kepada diri sendiri, keluarga, jiran, masyarakat, organisasi dan negara.

c) Tidak melakukan perbuatan maksiat dan melanggar hukum agama.

d) Sentiasa mengeluarkan zakat dan memberi sedekah atau sumbangan kepada pihak yang memerlu atau layak menerimanya.

e) Sentiasa melawat orang sakit sama ada di rumah atau di hospital.

f) Sentiasa menziarahi orang mati dan tanah perkuburan.

g) Tidak menderhaka kepada ibubapa.

h) Sentiasa melaksanakan suruhan dan perintah Allah swt.

45. GAJI ADALAH AMANAH

Setiap pekerja sama ada di sektor kerajaan atau swasta hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan betul. Anda dibayar gaji oleh majikan bukanlah kerana wang itu adalah kepunyaan anda tetapi sebagai ganjaran disebabkan anda menjalankan tanggungjawab seperti yang dikehendaki atau ditetapkan oleh majikan anda. Ini bermakna anda diberi amanah untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

Jika anda merupakan kakitangan awam, gaji anda adalah wang daripada rakyat jelata iaitu melalui pembayaran pelbagai jenis cukai kepada kerajaan. Cukai merupakan salah satu sumber yang besar kepada hasil kerajaan. Melalui hasil inilah gaji anda dibayar.

Anda tidak boleh melaksanakan tugas dengan sambil lewa, membazir, menyeleweng, menipu dan menyalahgunakan kuasa kerana kesemuanya itu merupakan perbuatan yang tidak beramanah. Orang yang tidak beramanah bererti mereka telah menyalahgunakan wang rakyat. Menyalahgunakan wang rakyat adalah berdosa dan sudah pasti hidup anda menjadi tidak berkat.



Hidup yang tidak berkat bererti anda sentiasa hidup dalam kesusahan, resah dan gelisah. Bahkan bukan itu sahaja tetapi juga anda atau mungkin keluarga anda akan ditimpa musibah disebabkan perbuatan anda sendiri yang menerima gaji tetapi tidak menjalankan kerja atau tugas seperti yang telah ditetapkan.









44..MENJAGA IBU BAPA


Ibubapa menjaga dan membesarkan kita sejak kecil hinggalah dewasa. Kasih dan sayang mereka kekal sepanjang hayat. Apabila kita sakit, mereka merawat kita sampai tidak cukup tidur. Betapa kasih dan sayang mereka kepada kita tidak dapat digambar oleh lukisan. Semasa kita bersekolah, bapa pula sanggup berlapar demi membeli buku dan pakaian kita. Ketika hendak masuk universiti, ibubapa sanggup bergadai atau menjual harta demi menampung segala perbelanjaan yang diperlukan oleh kita. Semasa di universiti, setiap permintaan kita terutamaanya kos untuk membeli buku dan keperluan lain sentiasa ditunaikan walaupun terpaksa meminjam dengan bank atau koperasi. semuanya dilakukan agar kita dapat meneruskan proses pembelajaran dengan jayanya.

Bila kita hendak kahwin, ibubapa akan bantu sedaya upaya yang mungkin agar majlis itu berjalan dengan baik. 

demikianlah pengorbanan ibubapa terhadap kita. Setelah kita kita dewasa dan berdikari serta berumahtangga, apakah peranan kita pula untuk membalas segala titik peluh dan pengorbanan mereka itu. Peranan yang mereka perlukan daripada kita tidaklah besar sangat yang mereka harapkan cuma jagalah mereka walau pun tidak dengan harta tetapi melalui ingatan, selalu bertanya khabar dan doakan untuk kebahagiaan mereka dunia dan akhirat.

43. PEMIMPIN JANGAN BERDUSTA

Semua pemimpin tidak boleh berdusta. Pemimpin itu termasuklah pemimpin politik, ketua organisasi, penghulu, pengarah, CEO, guru, ibu bapa, suami, isteri dan sebagainya. Anda juga adalah pemimpin yang mungkin pemimpin kecil atau besar. Sebagai pemimpin, anda hendaklah sentiasa bercakap atau berkata benar dan janganlah anda berdusta kerana ia banyak memberi keburukan bukan sahaja kepada diri anda tetapi juga orang lain.

Sabda Rasulullah saw:

"Hendaklah kamu berpegang kepada kebenaran, kerana sesungguhnya kebenaran itu memimpin kepada kebaktian, dan kebaktian itu membawa ke syurga (kebahagiaan); dan hendaklah tetap seseorang itu bersifat benar dan memilih kebenaran hingga dia menulis di sisi Allah sebagai orang yang sangat benar; dan hendaklah kamu jauhi kedustaan, kerana sesungguhnya kedustaan itu memimpin pada kedurhakaan, dan kedurhakaan membawa ke neraka (kehancuran); dan janganlah seseorang tetap berdusta dan memilih kedustaan hingga tertulis di sisi Allah sebagai pendusta." (HR Bukhari-Muslim).



42. JOGING DAN PUTUS ASA

Joging merupakan salah satu senaman yang dapat meningkatkan tahap kesihatan anda. Ramai yang ingin melakukannya termasuk anda. Sebaik sahaja memikirkan betapa pentingnya menjaga kesihatan terutamanya melakukan senaman lantas anda memutuskan untuk berjoging setiap hari mulai keesokan hari. Anda menetapkan untuk berjoging selama 30 minit setiap hari di waktu pagi dalam tempoh setahun tanpa henti.

Setelah semingu anda memulakan joging, anda mula terasa tidak selesa dan malas. Kalau pada awalnya anda melakukan joging dengan penuh semangat tapi kali ini ia semakin luntur. Anda mula putus asa dan mula mencari pelbagai alasan untuk tidak meneruskannya. Akhirnya anda tidak lagi berjoging. Anda adalah orang yang berputus asa. Orang yang berputus asa adalah orang yang tidak berjaya. Anda mencipta alasan untuk gagal bukan untuk berjaya.

Sebenarnya putus asa dalam berjoging boleh diatasi dengan pelbagai cara. Putus asa ada kaitan dengan semangat. Semangat anda perlu dipulihkan supaya putus asa dapat anda atasi. Antara cara yang sangat berkesan ialah melalui internet dan anda layarilah ratusan imej atau gambar orang yang sedang berjoging. Terdapat pelbagai imej termasuk rupa orang seperti orang Asia, Barat dan Afrika;  umur seperti kanak-kanak dan dewasa; bentuk badan seperti kurus, sederhana dan gemuk; tempat seperti di tepi pantai, taman, tepi sungai, tempat rekreasi, dalam bandar dan desa; dan pakaian seperti baju, seluar, kasut dan topi.



Setelah anda melihat pelbagai gambar tersebut pastinya semangat anda pulih semula dan anda tidak lagi berputus asa untuk meneruskan joging. Perasaan berputus asa tetap akan berlaku lagi dan apa yang perlu anda lakukan ialah terus mencari jalan mengatasinya terutamanya dengan cara yang disebutkan tadi. Sesungguhnya orang yang berjaya ialah orang yang tidak berputus asa dan sentiasa mencari alasan untuk berjaya bukan untuk gagal.

41. BAIK SEPANJANG MASA

Buat baik pada setiap masa merupakan satu amalan yang sangat berkesan untuk menjadikan hidup anda lebih ceria dan mengembirakan. Buat baik adalah aktiviti anda dan kegembiraan pula merupakan hasil daripada aktiviti tersebut. Hasil daripada buat baik boleh jadi cepat atau lambat. Cepat atau lambat hanyalah relatif masa tetapi hasilnya anda tetap perolehi.

Buat baik terbahagi kepada tiga iaitu niat, kata-kata dan tindakan. Jika anda menjaga ketiga-tiga aspek ini pada setiap masa anda pasti akan dapat menikmati hasil yang cukup menyenangkan diri anda.



Saturday, September 17, 2016

40. ANTARA MENGANIAYAI DENGN DIANIAYAI

Dua kenyataan di bawah adalah berbeza:

a) Saya akan menganiayai seseorang.

b) Saya akan dianiayai oleh seseorang.

Pastinya anda tidak mahu kedua-duanya terjadi pada diri anda. Akan tetapi jika anda terpaksa membuat pilihan salah satu daripadanya maka yang mana satukah akan menjadi pilihan anda? Apa alasan anda jika anda memilih (a) atau (b)?

Jika anda memilih (a) bererti anda adalah tergolong di kalangan orang yang tidak mempunyai hati dan perasaan kerana orang yang teraniaya itu akan mengalami penderitaan dan kesedihan akibat tindakan anda itu. Bahkan bukan setakat itu sahaja tetapi juga melibatkan maruah dirinya untuk berdepan dengan keluarga dan masyarakat. Contohnya katakan anda membuang kerja salah seorang daripada pekerja anda tanpa sebab yang munasabah tetapi di atas sebab peribadi menyebabkan pekerja anda itu terpaksa menghentikan pengajian anak-anaknya dan pindah rumah kerana tidak mampu membayar sewa lagi.  Tindakan itu adalah satu dosa kerana Allah melarang manusia menganiayai manusia lain.

Selain daripada dosa yang anda perolehi kerana melanggar larangan Allah, anda juga tidak dapat lari daripada balasan Allah semasa di dunia lagi. Paling tidak anda akan mengalami stress dan tekanan yang berat kerana setiap kali anda teringat akan perbuatan yang telah anda lakukan setiap kali pula anda akan tertekan. Ini merupakan sunnah dan keadilan Allah. Biasanya orang yang menganiayai orang lain itu sentiasa percaya yang tindakannya itu betul dan tidak mahu mengaku atau menerima kenyataan bahawa perbuatannya itu adalah salah.

Jika anda memilih (b), bererti anda berhati mulia kerana anda sanggup menderita asalkan orang lain tidak. Anda mungkin mengambil masa seminggu, sebulan atau setahun untuk pulih daripada kesedihan dan pada akhirnya anda tidak lagi bersedih. Lagipun anda tidak perlu risau kerana bukannya anda yang menganiayai tetapi anda dianiayai. Jadi bukanlah anda yang berdosa bahkan anda akan mendapat pahala sepanjang tempoh anda dianiayai dengan syarat anda bersabar.






39. MENGURUSKAN BADAN

Setelah mencuba dan memerhatikan pelbagai cara didapati cara paling berkesan untuk kuruskan badan anda ialah:

Jangan makan malam selama 10 hari.

Anda pasti dapat melihat kesan yang sangat mengejutkan anda.

Paling tidak berat anda berkurang 2 hingga 4 kilogram dalam masa tersebut.

Makan pagi dan tengah hari sahaja. Selepas itu (lebih kurang jam 2.30ptg), jangan makan lagi kecuali minum air atau teh tanpa gula sehinggalah pagi esok barulah boleh makan.

Bukan mudah hendak melakukannya kerana sangat banyak ujian dan cabaran. Penulis sendiri pun menghadapi masalah ini. Kalau tak kuat semangat memang susah nak teruskan selama 10 malam berturut-turut.

Awas jika pada hari yang ke-11, anda dapati berhasil, janganlah anda makan malam dalam kuantiti yang banyak pula kerana berat badan anda pasti bertambah semula dan mungkin berlipat kali ganda pula jika anda tidak berhati-hati.






38. MENGATASI KESEDIHAN

Kesedihan merupakan satu perasaan yang tidak mengembirakan anda disebabkan berlakunya sesuatu perkara yang anda tidak ingini. Untuk memullih atau mengatasi daripada kesedihan adalah bergantung kepada jangka masa iaitu jangka masa pendek dan panjang. Kesedihan jangka masa pendek mengambil masa tidak lama seperti, beberapa jam atau hari sahaja untuk diatasi. Bagi jangka panjang, mungkin mengambil masa berbulan atau bertahun lamanya. 

Kadangkala anda juga akan bersedih dan hati menjadi sayu tanpa sebab atau anda sendiri tidak tahu di manakah puncanya. Biasanya kesedihan seperti ini tidak mengambil masa yang lama kerana anda akan dapat mengatasinya dalam masa jangka pendek sahaja. 

Walau apa jenis kesedihan sekali pun anda hendaklah mengatasinya dengan seberapa segera yang mungkin. Kelambatan mengatasinya boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan anda. Kajian menunjukkan bahawa kira-kira 80% daripada penyakit yang berlaku pada seseorang adalah berpunca daripada kesedihan dan stress.

Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi kesedihan. Antaranya:

a) Memohon doa kepada Tuhan supaya kesedihan anda dapat diatasi.

b) Meninggalkan segala perbuatan atau kelakuan yang boleh mendatangkan dosa dan memperbanyakkan amalan yang baik.

c) Sentiasa berfikiran positif.

d) Melakukan senaman atau rekreasi seperti berbasikal, joging, berenang, memancing dan sebagainya.

e) Membaca buku terutama yang berkaitan dengan masalah anda.

f) Selalu sembahyang berjemaah terutama di surau atau masjid.

g) Makan angin atau melancong ke dalam atau luar negeri.

h) Melakukan Umrah (jika anda berkemampuan).

37. GEMBIRA SETIAP MASA

Gembira menjadi idaman setiap orang. Semua insan mahukan gembira dan tiada siapa yang tidak mahukannya. Gembira lahir daripada perasaan dan hati seseorang. Gembira dikaitkan dengan kejayaan mendapatkan sesuatu yang dingini atau dapat menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Siapa yang mengaitkan dengan kejayaan? Jawapannya ialah andalah yang mengaitkannya. Kenapa anda harus berjaya dahulu barulah mahu gembira? Kerana anda yang menetapkan peraturan sedemikian.

Sebenarnya anda silap kerana untuk gembira anda tidak seharusnya menunggu saat berjaya. Anda harus ubah segera minda anda dengan berkata bahawa walaupun saya gagal namun saya tetap gembira kerana saya sudahpun berusaha tetapi Tuhan yang menentukannya.

Jadi kalau begitu kenapa anda harus tidak gembira kerana bukan kuasa anda untuk membuat penentuan setelah berusaha dengan sedaya upaya. Anda harus yakin setiap ketentuan setelah anda berusaha habis-habisan tetapi masih gagal maka sesungguhnya pasti ada hikmah atau kebaikan daripada Allah untuk anda.

36. TUNAIKAN JANJI

Ariff merupakan pegawai persekutuan bertugas di Kajang dan bermastautin di Bangi. Ketika dalam perjalanan pulang dari satu majlis anjuran jabatan, Ariff menawarkan untuk menanam beberapa pokok kelapa di kawasan rumah ketuanya, Maswan yang berada bersamanya dalam sebuah kereta. Maswan bersetuju dan Ariff minta supaya dipastikan terlebih dahulu lokasinya supaya beliau dapat menanamnya dengan tepat dan mudah.

Setelah tiga bulan berlalu, Maswan masih berdiam diri dan Ariff bertanya pada Maswan sama ada sudah dikenalpasti lokasi tersebut. Maswan menyatakan belum dan Ariff terus berdiam diri.

Setelah setahun berlalu, Ariff masih berdiam kerana baginya Maswan tidak dapat memberi jawapan seperti apa yang dikehendakinya.

Setelah setahun setengah masa berlalu, tiba-tiba jiran Maswan bernama Amar bertemu Maswan ketika pulang dari solat Jumaat dan memaklumkan kepada Maswan bahawa petang semalam beliau telah menanam pokok kelapa mawar yang diambilnya dari kampung dan menamam sebanyak dua pokok di kawasan rumah Maswan.

Maswan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Amar dan beliau merasakan kegembiraan yang luar biasa. Kenapa Maswan merasakan kegembiraan yang luar biasa?

Jawapannya ialah kerana Maswan terlintas dengan janji Ariff itu.

Oleh itu jika sesiapa yang berjanji dengan anda dan ia tidak tunaikan dengan seribu satu alasan, janganlah anda bertindak negatif atau memarahinya kerana hak anda tidak akan ke mana cuma masa sahaja yang menentukannya. Walau bagaimanapun anda hendaklah bersabar kerana Allah sangat suka pada orang yang sabar dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan setiap apa yang berlaku.

35. INSAN YANG BAIK

Pernahkah anda berkata pada diri anda apabila anda bangun daripada tidur, "Saya mahu menjadi insan yang baik." Jika tidak pernah anda hendaklah menyebutnya setiap hari dan seberapa banyak yang boleh.

Ini kerana sebutan yang berulangkali itu merupakan doa dan lama-lama kelamaan doa anda akan dimakbulkan juga. Berdoa bererti anda memohon dan mengharapkan sesuatu daripada Illahi dan anda boleh gunakan bahasa yang anda fahami dan boleh menusuk ke dalam hati anda.

Apabila anda memahami dengan jelas dengan apa yang anda pohon akan memudahkan anda untuk merubahkan sikap anda menjadi insan yang baik.

Menjadi insan yang baik pastinya anda akan disukai atau disenangi oleh Allah, keluarga dan masyarakat.



34. KEBERKATAN HIDUP

Keberkatan bererti anda mendapat kebaikan dan kegembiraan. Apabila anda membuat kebaikan pastinya anda akan dibalas dengan kebaikan atau keberkatan. Setiap kebaikan yang diperolehi akan diikuti dengan kegembiraan. Keberkatan mesti dicari dan diusahakan. Ia bukannya datang bergolek. 

Fitri, seorang pelajar Diploma Fotografi di Kolej Segi mendapat keputusan CGPA 2.04 pada semester ketiga. Dia menerima kenyataan tersebut dan menyedari bahwa keputusan yang ia perolehi adalah hasil daripada sikapnya sendiri yang tidak bersungguh-sungguh semasa belajar.


Sebaik sahaja masuk semester keempat Fitri mula berubah sikap kepada yang lebih positif, menjaga moral, studi bersungguh, tidak meninggalkan solat fardhu, kerapkali ke masjid dan banyak membantu ibu bapa. Apabila keputusan diperolehi, Fitri sangat gembira kerana bejaya meperolehi CGP 3.07 dan CGPA 2.77 bagi semester keempat.

Fitri tidak akan berjaya mendapat keputusan yang lebih baik sekiranya ia terus dengan sikap lama kerana tiadanya keberkatan. Allah memberi dan mengurniakan keberkatan kepada anda kerana anda banyak membuat sesuatu perkara yang betul dan berkelakuan baik.

Oleh itu anda hendaklah sentiasa melakukan perkara yang baik supaya keberkatan terus bertambah dan dalam masa yang sama anda perlu meninggalkan segala perkara dan kelakuan yang tidak baik bagi mengelakkan ketidakberkatan dan kekecewaan dalam hidup anda.

33. SENTIASA BERSYUKUR

Bersyukur sangat dituntut oleh Allah dan masyarakat. Ia adalah sebagai tanda terima kasih seseorang kepada Allah kerana telah berjaya mendapat sesuatu yang dingininya. Bersyukur tidak seharusnya terbatas kepada sesuatu yang berjaya dicapai atau dperolehi semata-mata tetapi perlu juga dilihat kepada kegagalan atau dalam keadaan biasa iaitu tidak dalam situasi yang menginginkan sesuatu. Bersyukur mempunyai beberapa tahap atau golongan iaitu:

a) Tak Mahu Bersyukur

Golongan ini sangat buruk sifatnya dan tidak disukai oleh Allah. Ia tidak mahu bersyukur dengan apa yang ia dapat dan sentiasa merasakan tidak cukup dengan apa yang diperolehi.

b) Bersyukur Apabila Berhasil

Golongan ini hanya beryukur setelah apa yang mereka hajati dapat diperolehi. Selagi tidak berjaya selagi itulah tidak akan bersyukur. Baginya buat apa beryukur kalau sesuatu yang dikehendaki tidak berhasil. Anda akan tergolong sebagai orang yang tidak baik pekerti sekiranya anda berada di tahap ini.

c) Sentiasa Bersyukur

Golongan ini sangat disenangi oleh Allah kerana sentiasa bersyukur dengan apa yang diterimanya setelah berusaha. Anda tetap bersyukur walaupun hasilnya baik atau kurang, rendah atau tinggi dan banyak atau sedikit. Bagi anda, kejayaan tidak semestinya pencapaian tetapi nikmat yang dianugerah Tuhan seperti mampu melihat, bergerak, bercakap, sihat dan berfikiran waras juga merupakan hasil pencapaian yang tidak ternilai. Allah akan menambahkan rezeki kepada anda jika anda sentiasa bersyukur.

Allah swt berfirman:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memaklumkan, 'Jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambahkan nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat Allah) maka sesungguhnya azabKu amat pedih'." (Ibrahim: 7)

Justeru itu, anda hendaklah berada pada tahap yang ketiga agar anda adalah tergolong di kalangan orang yang akan ditambahkan nikmat dan rahmat oleh Allah.

32. RIYA' MERUGIKAN DIRI

Riya' terjadi disebabkan amalan baik yang anda lakukan kerana mempunyai niat supaya sesiapa yang melihat, mendengar atau mengetahuinya akan memuji, menyanjung dan menghargai anda.

Hanya anda dan Tuhan sahaja yang mengetahui sama ada anda riya' atau pun tidak. Ciri-ciri orang yang riya' ialah:

a) Bertujuan untuk menunjuk-nunjuk amalan baik

b) Tidak ikhlas

c) Merasakan dirinya bijak

d) Berbangga dengan kebolehan dan kedudukan 

e) Sentiasa mengharapkan pujian 

f) Kurang mesra dengan mereka yang bertaraf lebih rendah atau kurang ilmu daripadanya

g) Menjadi rajin apabila orang melihat kerja baiknya dan tidak bersungguh-sungguh apabila tiada siapa yang melihat.   

Oleh itu jika anda membuat sesuatu yang baik tetapi termasuk dalam ciri-ciri seperti di atas, anda seharusnya cepat-cepat berubah dan terus memperbaikinya suapaya anda tidak tergolong sebagai orang yang riya'. Sesungguhnya riya' merupakan perbuatan yang sia-sia sahaja dan boleh menghilangkan pahala.


31. HENDAKLAH ATAU HENDAK

Perkataan hendaklah dan hendak seringkali digunakan oleh seseorang sama ada ketika berbual, berbincang, berceramah, berucap, berkhutbah, bermesyuarat, berlakon dan berkomunikasi. Walaupun nampak sama tetapi ia memberi maksud yang berlainan dan di samping itu ia juga memberi kesan yang berbeza.

Hendaklah lebih kepada menyuruh, mengarah atau memaksa. Contohnya, anda hendaklah mengerjakan solat, membaca buku, mematuhi disiplin, berjimat-cermat, menjaga kesihatan dan menjauhi maksiat. Ini menyebabkan anda tidak mampu melakukan perkara tersebut dengan kepuasan yang tinggi kerana anda merasakan seolah-olah dipaksa dan bukan dengan kerelaan hati anda.

Berbeza pula dengan hendak. Apabila anda hendak bererti anda mahu membuat sesuatu seperti anda mahu membaca buku, menjaga kesihatan, melakukan senaman, berpuasa, solat berjemaah, menjaga kualiti, membuat kebajikan dan belajar memasak. Ini menyebabkan anda sentiasa bersemangat dan bersungguh-sungguh melakukannya kerana anda sendiri yang hendak atau  mahu. Apabila anda melakukan sesuatu atas dasar anda sendiri yang mahu sudah tentu anda akan merasakan tahap kepuasan yang tinggi. 

Oleh itu jika anda hendak melakukan sesuatu dengan lebih baik dan berkesan anda perlu merubah cara berfikir daripada anda hendaklah kepada anda hendak atau mahu.

30. SETIAP DETIK, PATAH DAN LANGKAH

Setiap detik, patah dan langkah anda hendaklah yang baik dan betul. Jika anda perhatikan dalam kehidupan seharian  anda pasti akan menempuh ketiga-tiga elemen tersebut. Setiap detik dikaitkan dengan niat, setiap patah dikaitkan dengan kata-kata dan setiap langkah dikaitkan dengan perbuatan. Ianya merupakan rutin harian anda.

Untuk menjadikan diri anda lebih baik adalah tidak cukup setakat dengan niat sahaja kerana kata-kata dan perbuatan adalah penting. Begitu juga jika setakat niat dan kata-kata saja tanpa perbuatan juga tidak mencukupi. Jadi bagi melengkapkan rutin harian yang berguna ialah anda hendaklah memastikan setiap detik, setiap kata dan setiap langkah anda adalah betul. Berikut ialah contoh mengenai elemen-elemen itu:

a) Setiap Detik

Niat anda hendaklah sentiasa baik, betul dan benar pada setiap masa tidak kira siapa diri anda. Jangan sekali anda membenarkan fikiran dan hati anda untuk berniat tidak baik atau jahat kepada diri anda atau orang lain. Katakan kepada diri anda, "Aku akan sentiasa mempunyai niat yang baik dan sebarang niat yang jahat akan aku hapuskan dengan menggantikannya dengan niat yang baik." 

b) Setiap Patah

Anda hendaklah sentiasa memastikan apa yang anda perkatakan adalah kata-kata yang baik dan berguna. Hindarkan daripada berkata perkara-perkara yang tidak baik seperti berbohong, perkara yang tidak berfaedah, mengata, mengumpat, menfitnah, memaki dan mencarut kerana ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada diri anda dan masyarakat.

c) Setiap langkah

Langkah yang sentiasa baik bererti segala perbuatan, tindakan, tingkah laku dan gerak geri anda hendaklah betul. Janganlah anda melakukan perbuatan yang tidak baik seperti mencuri, memukul, merompak, tidak berintegriti dan  membuat maksiat kerana ia akan merugi dan memudaratkan diri anda. Pastikan setiap langkah atau perbuatan adalah ke arah kebaikan bukannya keburukan atau kejahatan.

29. SIAPAKAH KITA

Tuhan menjadikan manusia atas rahmat dan ehsanNya. Selepas itu kita akan kembali semula kepadaNya. Masa untuk kita berada di muka bumi ini tidak lama. Secara puratanya 60 hingga 80 tahun dan jarang orang yang dapat hidup melebihi 90 tahun.

Apa tujuan Allah menjadikan kita hidup di dunia ini? Jawabnya kerana Allah mahukan kita beribadat kepadaNya sebelum nyawa atau roh kita berpisah dengan badan. Allah berfirman:

Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepadaKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai kekuatan Lagi Maha Kuat.” (Adz Dzariat:56-58)

Setengah ulamak berpendapat ibadat itu bermaksud kita hendaklah sentiasa takut kepada Allah dengan melakukan apa yang disuruh (kebaikan) dan menjauhi apa yang dilarang (maksiat). 

Jika Allah tidak menetapkan syarat tersebut kepada manusia iaitu hendaklah membuat ibadat semata-mata dan sebaliknya diberi kebebasan iaitu sebarang maksiat dan kejahatan dibenarkan maka manusia tidak akan mampu untuk hidup lama di muka bumi ini kerana ramai akan kecewa, menderita, tersiksa atau mati akibat penindasan dan pembunuhan oleh mereka yang lebih kuat dan berkuasa. Contoh maksiat atau kejahatan seperti:

- membunuh sesuka hati sama ada melibatkan nyawa yang sedikit atau ramai

- mencuri, merampas dan merompak harta orang lain

- berzina, tinggal serumah tanpa nikah, melacur, menyimpan ramai perempuan dan merogol

- berkahwin sehingga ratusan isteri

- isteri mencari lelaki lain selain suami

- berjudi dan mabuk

- melanggar apa sahaja undang-undang yang ada

- melakukan penindasan, fitnah, penganiayaan dan kezaliman

- 1001 macam maksiat lagi

Akibat perbuatan seperti di atas akhirnya manusia juga yang susah, menderita hancur di atas muka bumi. Itulah hikmahnya apabila kita beribadat pada Allah yang membawa maksud sentiasa menjauhi apa sahaja yang Allah larang. Berikut ialah contoh perkara-perkara yang disuruh manusia lakukan seperti:

- Tidak boleh mencuri, merompak atau mengambil harta orang lain

- Tidak boleh melanggar undang-undang walau pun di jalan raya

- Sentiasa menolong dan membantu orang yang susah, miskin dan memerlukan pertolongan

- Menghormati sesama manusia

- Mempelajari ilmu yang memberi manfaat

- Mengamalkan Rukun Islam dan Rukun Iman

- Membuat baik dan kebajikan kepada keluarga dan masyarakat.

- Tidak berzina, berjudi, bertenung nasib, syirik dan pembunuhan

- Tidak berjual beli secara haram dan melakukan riba

- Sentiasa bersikap adil, amanah, jujur, ikhlas dan integriti

- dan 1001 macam kebaikan lagi

Jika anda teliti apa yang diertikan dengan beribadat itu melalui contoh-contoh di atas ternyata sememangnya Allah menyuruh kita beribadat adalah untuk kebaikan manusia juga. Setiap maksiat atau kejahatan yang kita lakukan pasti akan menyebabkan berlaku kesusahan dan penderitaan. Allah tidak mahu melihat manusia menderita walaupun berlaku pada seorang manusia sahaja kerana sesnugguhnya Allah mahu melihat semua manusia gembira hidup di bumi ini tetapi dengan syarat kita hendaklah sentiasa membuat baik atau beribadat kepadaNya

28. SENYUMAN KETUA

Ada ketua yang sentiasa senyum bila bertemu orang bawahannya dan ada pula di sebaliknya. Bagi orang bawah tentulah mereka ingin melihat ketuanya sentiasa senyum bila bertemu dengan mereka.Apabila seorang ketua yang menunjukkan muka yang masam apabila bertemu dengan orang bawahannya boleh menyebabkan orang bawah akan merasakan tidak seronok dan takut untuk berdepan dengannya.

Apalah salahnya jika kita memberi senyuman kepada orang bawah bila bertemu dengan mereka kerana ia tidak rugi. Akan tetapi yang peliknya ada sesetengah ketua pula akan tersenyum bila berhadapan gadis cantik. Ini bermakna wataknya boleh berubah-ubah. Jadi kalau ia boleh berubah-ubah kenapa tidak ia terus berubah dengan terus memberi senyuman kepada semua orang terutama orang bawahannya.

Sebenarnya orang bawahnya akan bekerja dengan lebih bersemangat dan seronok untuk bekerja apabila melihat bosnya sentiasa senyum. Apabila mereka sudah bersemangat tentunya akan menyebabkan kerja menjadi lebih cekap dan berkesan. Akhirnya dapat mempertingkatkan kualiti dan produktiviti syarikat atau jabatan.

Oleh itu jika anda adalah seorang ketua tak kira ketua bagi kumpulan yang kecil atau besar hendaklah sentiasa senyum kerana senyuman itu adalah merupakan faktor yang sangat berkesan untuk mempertingkatkan motivasi orang bawahannya.

Friday, September 16, 2016

27. MENJAGA HATI

Kita dibekalkan hati oleh Tuhan. Ia mesti dijaga dengan baik. Kita bukan sahaja perlu menjaga hati kita tetapi hati orang lain. Beberapa orang yang perlu kita jaga hati mereka adalah seperti berikut.

Pertama, diri kita sendiri. Kita mesti melakukan dan mengamalkan sikap yang baik supaya hati menjadi tenang. Misalnya kita bersikap sopan, selalu senyum atau ketawa, menunaikan suruhan Tuhan dan bersih. Apabila hati kita menjadi tenang fikiran kita akan lapang dan seterusnya semua tindakan yang kita lakukan akan menjadi baik.

Kedua, menjaga hati ibu bapa. Ini amat penting. Hati ibu bapa sememangnya sangat mudah terasa atau terkilan atas tindakan yang dilakukan oleh anaknya walaupun kadang-kadang perkara itu adalah kecil sahaja. Di sini kita perlu mengetahui apakah perkara-perkara yang disukai dan tidak disukai oleh mereka. Kita perlu menjauhi daripada melakukan perkara yang mereka tidak suka dan memperbanyakkan melakukan perkara yang mereka sukai.

Ketiga, menjaga hati keluarga. Mereka adalah orang yang terdekat dengan kita dari segi hubungan. Jika kita dalam kesusahan biasanya merekalah orang yang akan membantu atau meringankan kesusahan yang kita alami.

Pihak-pihak lain yang perlu kita jaga ialah jiran, rakan-rakan, guru, ketua, dan pemimpin.
Hati kita akan menjadi tenang dengan sendiri bila kita menjaga hati orang lain.

26. MEMUJUK HATI

Hidup anda tidak selalunya gembira. Hari ini anda sangat gembira dan besok atau lusa mungkin menyedihkan. Anda perlu meneruskan kehidupan sama ada anda gembira atau sedih. Ada yang dilahirkan dalam keluarga yang miskin dan yang kaya. Ada yang dilahirkan sangat sukar untuk mendapat makanan dan ada pula yang sangat mewah dengan makanan.

Jadi apakah cara yang harus anda lakukan supaya anda sentiasa gembira walaupun anda hidup dalam satu keluarga yang susah. Salah satu cara ialah dengan memujuk hati sendiri. Contohnya jika anda susah, anda hendaklah berkata bahawa ada lagi orang yang susah daripada anda. Jika anda memiliki sebuah rumah, anda hendaklah berkata bahawa ramai lagi orang yang tidak memiliki rumah. Jika anda berpendapatan RM500.00 sebulan, anda hendaklah berkata masih ramai lagi orang yang berpendapatan kurang daripada RM500.00 sebulan. Jika anda sakit, anda hendaklah berkata masih ramai lagi orang yang sakit lebih teruk daripada anda.

Bagaimanapun anda tidak boleh membiar kesusahan atau kesakitan berterusan tanpa berusaha untuk mengatasinya. Anda harus berusaha mengatasi masalah tersebut untuk memperbaiki keadaan supaya menjadi lebih baik lagi.

Memujuk hati anda sendiri merupakan penawar yang sangat mujarab semasa anda sedang menghadapi kesusahan.

25. SUMBER YANG BETUL

Apabila anda ingin mendapatkan hasil yang baik dan berkualiti anda hendaklah memastikan terlebih dahulu semua sumber yang digunakan untuk menghasilkan produk atau ouput tersebut adalah betul atau baik. 

Sekiranya anda mencampur atau memasukkan sumber yang tidak baik bererti hasil yang diperolehi juga menjadi tidak baik. Contohnya dalam produk sos cili. Jika anda ingin memastikan sos cili itu berkualiti anda hendaklah memastikan tidak ada sebiji pun cili yang busuk digunakan dalam proses membuat sos cili itu. Ini bermakna jika ssemua cili yang digunakan baik maka secara automatik pula sos cili yang dapat dihasilkan menjadi baik dan berkualiti. 

Oleh itu anda hendaklah memastikan semua sumber yang digunakan dalam proses untuk menghasilkan sesuatu merupakan yang betul dan baik.

24. MENGIKUT ARUS

Apabila kita bekerja pasti akan berlaku sesuatu perubahan yang dilakukan oleh pihak pengurusan dalam sesebuah organisasi. Arus perubahan yang dibawa oleh mereka adalah bertujuan untuk menjadikan organisasi itu lebih baik dari sebelumnya. Bagaimanapun tidak semua perubahan yang dilakukan itu akan disenangi oleh semua pekerja. Ada yang menerima, ada yang menentang, dan ada yang berada di tengah-tengah.

Berdasarkan kepada tujuan pengurusan yang ingin membawa kebaikan kepada jabatan adalah tidak rugi jika kita menyokong perubahan tersebut. Bahkan dengan sokongan yang padu, organisasi akan dapat mencapai matlamat dengan lebih cepat.

Jika kita menentang perubahan atau melawan arus mungkin akan menjejaskan atau melambatkan pencapaian matlamat organisasi. Jika keuntungan yang tinggi hendak dicapai sudah tentu bukan sahaja organisasi akan mengalami kerugian bahkan juga pekerja itu sendiri. Mengikut arus bukan bererti kita menjadi “yes man” tetapi kita mahu memberi kerjasama dan menyokong perubahan yang dibawa bagi tujuan mempertingkatkan kualiti dan produktiviti organisasi serta menaikkan nama dan imej organisasi.

Sekiranya perubahan yang dibawa itu berjaya tentulah pihak pengurusan akan berterima kasih kepada pekerja yang menyokong perubahan tersebut dan bagi yang menentang pula biasanya akan dilihat sebagai orang yang ‘anti-establishment’ dan ia mungkin akan ketinggalan dalam kerjayanya.

23. SEDIKIT YANG BERMAKNA

Dalam kehidupan, anda pasti tidak boleh terlepas daripada persaingan. Anda terpaksa bersaing kerana sesuatu yang ingin diperolehi itu adalah terhad. Setiap orang yang bersaing tentu ingin kemenangan. Seorang pelajar di sekolah akan berusaha dengan rajin dan tekun kerana ingin mendapat nombor satu dalam kelas. Dalam persaingan begini seorang pelajar yang berjaya mendapat nombor satu adalah pelajar yang mendapat markah keseluruhan yang paling tinggi. Katakan ia mendapat 955 markah daripada sepuluh subjek yang diambil dan pelajar yang mendapat nombor dua pula mendapat 954 markah. Walaupun bezanya cuma satu markah tetapi maknanya cukup besar.

Begitu juga jika kita lihat perbezaan masa pelari 100 meter yang menjadi juara dengan naib juara, perbezaannya cuma 0.02 saat sahaja iaitu bagi yang bergelar juara mencipta masa 9.90 saat dan bagi naib juara ialah 9.92 saat. Jadi dengan hanya perbezaan 0.02 saat ia berjaya memperolehi wang satu juta ringgit yang dikhaskan untuk juara.

Bagi pekerja pula, tentu mereka yang mendapat markah prestasi yang paling tinggi akan mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding dengan pekerja yang mendapat markah yang kurang walaupun bezanya cuma sedikit.

Selain dari itu persaingan yang lebih besar juga berlaku dalam bidang perniagaan, politik, pertubuhan dan sebagainya. Kesemuanya ini memerlukan kemenangan dan ia tidak perlu lebihan yang besar kerana lebihan yang kecil sudah memadai untuk anda digelar juara.

22. MENGEJAR KEBAHAGIAAN

Manusia secara umumnya ingin mencapai kehidupan yang bahagia. Jadi apakah elemen penting yang terkandung dalam kebahagiaan. Pertama ialah kesihatan. Ia amat penting kerana jika seseorang itu tidak sihat seperti sakit kronik misalnya sakit jantung, barah atau struk ia pasti merasakan dirinya tidak bahagia. Setiap orang pasti inginkan dirinya sihat. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk menjadikan dirinya sihat.

Kedua ialah selamat. Keselamatan seseorang amat penting. Kita memiliki rumah kerana ingin selamat daripada terdedah kepada ancaman sama ada manusia atau binatang. Seseorang pasti akan terasa gelisah dan risau sekiranya ia mengetahui dirinya tidak selamat misalnya ada orang yang hendak melakukan sesuatu yang tidak diingini ke atas dirinya.

Ketiga ialah kesenangan. Kesenangan termasuk memiliki wang dan harta. Manusia berusaha mencari kekayaan kerana melaluinya ia dapat memperoleh sesuatu yang diidamkan seperti rumah, kereta atau hiasan diri. Tanpa memiliki sesuatu seseorang itu akan merasakan dirinya tidak bahagia.

Sebagai rumusannya kebahagiaan adalah menjadi idaman setiap insan dan ia perlu diperolehi melalui elemen kesihatan, keselamatan dan kesenangan.

21. MENDENGAR BISIKAN HATI

Kita selalu membuat keputusan berdasarkan apa yang kita fikir dan apa yang kita nampak. Kadang-kadang kita juga membuat keputusan berdasarkan bisikan hati atau hati kecil. Tidak semua orang dapat menggunakan cara bisikan hati kerana ia tidak mudah untuk diperolehi. Kita mesti mencari dan melatih diri kita untuk  dengan bisikan hati.

Kalau kita sudah biasa mendengar bisikan hati bererti kita hendaklah terus melayaninya supaya ia tidak hilang atau putus hubungan dengan kita. Bisikan hati biasanya akan memberi nasihat dan pandangan yang positif dan membina. Ia tidak sekali-kali menyarankan perkara yang tidak baik. Bisikan hati selalunya akan berlawan dengan perasaan negatif seperti buruk sangka, dengki, iri hati, terburu-buru dan ikut nafsu. Bisikan hati jika dijaga dengan baik ia pasti akan menjadi sahabat dan penasihat kita yang sangat berguna.

Walau apa pun keputusan yang kita lakukan yang penting ialah ia tidak boleh bertentangan dengan agama dan undang-undang yang ada.

20. SENTIASA BETUL

Dalam menjalani kehidupan biarlah kita menjadi orang yang mengamalkan perkara-perkara yang betul. Kalau kita sentiasa betul dalam apa jua tindakan tentulah kita menjadi lebih bahagia dan juga orang yang berada di keliling kita juga akan merasa senang. Berikut adalah beberapa tips untuk mengamal perkara yang betul.

Pertama, ketika bangun dari tidur. Sebaik saja bangun dari tidur fikirkan apa yang hendak dilakukan pada hari ini bermula dari pagi hinggalah ke malam. Beritahu diri sendiri bahawa hari ini aku tidak mahu melakukan perkara yang dilarang oleh agama atau undang-undang. Misalnya aku tidak mahu mengumpat, fitnah, mengata, menipu atau lepak. Fikirkan untuk membuat perkara-perkara yang baik.

Kedua, pada waktu tengah hari. Ketika tengah hari kita harus menilai tindakan-tindakan yang telah kita lakukan. Jika terdapat perkara yang bercanggah dengan perancangan dibuat maka hendaklah diperbetulkan pada waktu tengah hari hingga malam.

Ketiga, ketika waktu hendak tidur. Semasa hendak tidur kita hendaklah menilai semula segala tindakan yang kita lakukan dari pagi hinggalah malam. Jika semuanya adalah betul kita hendaklah melakukan pada keesokan hari pula dan begitulah pada hari berikutnya. Akan tetapi jika tindakan yang kita lakukan ada yang tidak betul eloklah kita perbetulkan.
Amalkan sentiasa membuat betul dan jika diamalkan setiap masa sesungguhnya akan menjadikan hidup kita lebih cemerlang dan bahagia serta akan disenangi oleh Tuhan dan orang lain.

19. USAHA DAN HARAPAN

Setiap orang mempunyai harapan yang tinggi untuk mendapat sesuatu seperti mamiliki kekayaan, menjadi terkenal, berjaya dalam pelajaran atau mendapat pangkat yang lebih tinggi.

Kita perlu mempunyai impian dan harapan tetapi kita jangan lupa untuk berusaha bersungguh-sungguh agar impian kita tercapai. Orang yang tidak mempunyai cita-cita atau impian samalah seperti pelayaran yang tidak ada penghujungnya.

Orang yang berusaha bersungguh-sungguh mengejar cita-cita pun belum pasti dapat mencapainya seratus peratus apatah lagi orang yang tidak berusaha.

Bagi mereka yang berusaha pula hendaklah yakin akan memperolehi kejayaan tetapi dalam masa yang sama hendaklah menyedari bahawa kita hanya berusaha tetapi Tuhan yang menentukan.

Jika kita dapat menerima ketentuan walaupun sudah berusaha bersungguh-sungguh maka kita usahlah rasa kecewa kerana ia pasti ada kebaikannya. Misalnya kita telah melaksanakan kerja dengan cemerlang bagi menaikkan imej Jabatan tapi di akhir tahun kita mendapat markah prestasi yang rendah. Jika ini berlaku kita tidak usah kecewa kerana kita sudah sanggup menerima ketentuan walaupun kita telah berusaha. Bagi mereka yang tidak merasa kecewa dan sedia menerima kenyataan pasti akan mendapat kebaikan pada masa yang lain.

18. TERUS BERSEMANGAT

Ramai orang yang mempunyai perancangan dan strategi yang baik tetapi masih gagal untuk mencapai matlamat mereka. Ini kerana ada di antara kita yang mempunyai semangat yang rendah dan cepat berputus asa apabila tidak berjaya.

Semangat adalah penting dalam mengejar sesuatu yang kita tetapkan. Ia seperti api yang membara yang boleh membakar untuk menjadikan tenaga yang kuat. Ramai orang yang mempunyai semangat yang tinggi pada peringkat awal tetapi lama kelamaan ia mulai luntur dan pudar yang akhirnya lenyap. Misalnya seorang yang kuat merokok berazam berhenti daripada merokok. Hasratnya akan berjaya sekiranya ia mempunyai semangat yang tinggi iaitu walau apa pun terjadi ia tetap akan berhenti daripada merokok.

Bagi mengekalkan semangat yang tinggi hendaklah didorong oleh beberapa perkara seperti hadiah, penghargaan, kesihatan, harta atau wang. Seorang peniaga menjalankan perniagaan dengan penuh semangat kerana didorong oleh keinginan untuk mendapat wang yang banyak bagi membayar sewa rumah dan ansuran kereta. Begitu juga seorang pekerja melaksanakan tugas dengan penuh semangat kerana didorong untuk mendapat prestasi yang tinggi. Seorang warga emas berumur tujuh puluh tahun tidak akan berjaya mendaki gunung Kinabalu sekiranya ia tidak mempunyai semangat yang tinggi

17. MENGAWAL KEMARAHAN

Sifat marah merupakan perkara semulajadi yang ada pada setiap orang. Apa yang perlu kita lakukan apabila kita marah ialah mengawalnya. Terdapat beberapa cara untuk mengawal kemarahan.
Pertama, ingat kesan kemarahan. Apabila kita marah fikiran kita menjadi tidak tenteram, stress, denyutan jantung makin laju dan tekanan darah menjadi tinggi. Jika kita terus marah ia boleh menyebabkan badan kita lemah atau sakit.

Kedua, mengambil wuduk. Bagi orang Islam kita hendaklah mengambil wuduk. Kemarahan boleh dikawal jika kita mengambil wuduk. Ia merupakan penawar yang sangat mujarab kerana marah merupakan unsur api manakala mengambil wuduk merupakan unsur air. Air dapat memadamkan api.

Ketiga, berfikiran positif. Kita hendaklah sentiasa berfikiran positif ketika sedang marah. Fikiran positif dapat menghentikan kemarahan berterusan. Contohnya jika kita dimarahi oleh guru kerana lambat menghantar kerja rumah kita hendaklah menganggap bahawa guru kita ingin menjadikan kita sebagai pelajar yang sentiasa mementingkan ketepatan masa.

Keempat, melakukan senaman. Pergilah bersenam seperti joging, bermain bolasepak, badminton, berbasikal atau senaman lain.

Kelima, makan buah-buahan. Buah-buahan mengandungi pelbagai vitamin hendaklah dimakan setiap hari. Buah-buahan dapat membantu mengurangkan perasaan marah.

Kejayaan mengawal kemarahan memberi kesan yang baik kepada kita dan akan menjadikan hidup kita lebih tenteram dan bahagia.

16. MENCARI KEBAIKAN ORANG LAIN

Setiap orang mahu mendengar komen yang baik ke atas dirinya. Adalah luar biasa jika ada orang akan berkata bahawa alangkah gembiranya mendengar cerita daripada seseorang yang mengatakan bahawa kita adalah seorang pemalas, tidak pandai bergaul, tidak tahu memimpin, tidak pandai menjaga kebajikan pekerjanya dan sebagainya. Ini kerana kita lebih senang mendengar komen bahawa kita mempunyai sifat-sifat dan nilai-nilai yang positif. Perkara ini adalah normal bagi manusia.

Ekoran daripada itu kita harus menceritakan kebaikan seseorang apabila kita bertemu dengan seseorang atau kawan-kawannya. Bukannya rugi apa-apa jika kita berkata yang baik tentang seseorang. Malah katakanlah apa yang kita perkatakan itu dapat diketahui oleh orang yang kita maksudkan maka sudah pasti ia akan merasa gembira dan tentu akan menghargai serta menyukai kita. Ini bererti kita pun akan disenangi dan disukai oleh orang itu.

Sebaliknya jika kita menceritakan keburukan seseorang dan katakan cerita itu sampai ke pengetahuannya sudah tentu ia merasa tersinggung dan kecewa serta dendam. Perkara ini adalah tidak baik dari segi perhubungan dan pergaulan antara kita dengannya.
Menyenangkan semua pihak iaitu pihak kita dan pihak rakan-rakan atau orang lain adalah sangat dituntut oleh agama dan masyarakat kerana ia akan menjadi satu budaya yang positif dalam masyarakat kita. Oleh yang demikian, carilah seberapa banyak kebaikan seseorang kerana akhirnya diri kita pula akan dilihat oleh orang lain dengan penuh kebaikan.

15. SEGERA BERTINDAK

Selalunya kita suka bersikap menangguh walau pun kita sudah pun membuat perancangan untuk melaksanakannya. Semakin lama kita menangguh bererti semakin lamalah pula kita akan dapat memperolehi sesuatu yang kita inginkan.